Bantuan RM300 sebulan untuk golongan miskin, miskin tegar Sabah bermula Februari ini

Ketua Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini hari ini.


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan Kabinet Negeri telah meluluskan pelaksanaan program Sentuhan Kasih Rakyat 2025 untuk Ketua Isi Rumah (KIR) bagi golongan miskin dan miskin tegar serta ahli keluarga mereka yang berumur 18 tahun ke atas di Sabah.

Mempengerusikan mesyuarat pertama pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri tahun ini di Menara Kinabalu di sini hari ini, beliau berkata agihan bulanan Kerajaan Negeri sebanyak RM300 akan dilaksanakan secara berperingkat dan berpakej mulai Februari ini dan akan memberi manfaat kepada 100,000 rakyat Sabah dalam kategori miskin dan miskin tegar.

“Melalui inisiatif yang akan diselaraskan oleh Sekretariat SMJ ini, kita berharap ia dapat membantu meringankan beban golongan miskin dan miskin tegar, khususnya semasa perayaan utama di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji mahu semua ketua jabatan memainkan peranan mereka dalam memantau rapi pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

Hajiji berkata pelaksanaan semua projek pembangunan yang telah diluluskan perlu disegerakan.

“Saya tegaskan kepada semua ketua jabatan, bukan sahaja di bawah Jabatan Ketua Menteri tetapi juga di kementerian lain termasuk pegawai daerah.

"Saya ingin mengingatkan semua pegawai kerajaan negeri supaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan memastikan projek untuk rakyat dilaksanakan mengikut jadual," katanya.

Hajiji turut mengarahkan ketua-ketua jabatan untuk mengambil tindakan proaktif bagi mengelak sebarang projek daripada menjadi projek 'sakit' dan terbengkalai.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama