![]() |
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin. Foto / PDRM. |
TAWAU : Seorang lelaki warga emas ditemukan mati selepas terbabit dalam satu pergaduhan dengan warga asing di sebuah rumah kebun dekat Jalan Sing Ho, Merotai Besar dekat sini, petang semalam.
Mangsa warga tempatan berumur 66 tahun ditemukan maut dengan kesan tetakan di bahagian kiri dan kanan kepala dipercayai ditetak menggunakan sebilah parang.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu 1.45 tengahari di Balai Polis Bombalai yang memaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan antara suspek mangsa.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan Balai Polis Bombalai polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum melakukan tangkapan.
"Polis turut merampas sebilah parang iaitu senjata yang dipercayai digunakan oleh saspek untuk menetak mangsa," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut Jasmin berkata siasatan awal mendapati suspek warganegara asing berumur 33 tahun, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan bekerja sebagai buruh ladang.
Katanya, motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham sebelum tercetus pertengkaran dan pergaduhan sehingga membawa kepada kejadian bunuh itu.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berada di Malaysia.
"Suspek di tahan dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut," katanya sambil menambah mayat mangsa dihantar ke hospital Tawau untuk bedah siasat.