Dua wanita warga asing ditahan terlibat dadah

Suspek ditahan ketika serbuan

 


PENAMPANG: Dua wanita warga asing ditahan selepas disyaki terlibat dengan kesalahan dadah dalam satu serbuan di sini pada 3 Januari lepas. 

Kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20an itu ditahan kira-kira jam 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang Superintendan Sammy Newston berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat risikan mengenai kegiatan suspek terbabit. 

Katanya, hasil pemeriksaan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang berjaya merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM3,200.

Menurutnya, antara yang dirampas termasuk lima paket plastik hitam disyaki mengandungi serbuk ekstasi seberat 166.77 gram, satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi pil ekstasi seberat 3.07 gram dan satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis ketamin seberat 1.46 gram.

"Kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis ketamin setelah ujian saringan awal air kencing dibuat.

"Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup (30 tahun) dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

"Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Dalam pada itu, pihaknya menyarankan orang ramai supaya terus menjadi mata serta telinga polis dalam menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama