![]() |
Caption gambar: Arifin Mohr Arif (Foto: Jabatan Penerangan Sabah) |
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan melaksanakan hukum sebat di khalayak ramai seperti yang dilaksanakan di negeri Terengganu, baru-baru ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata hukuman sedemikian tidak dilaksanakan berikutan Sabah merupakan negeri unik yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.
Disamping itu, keharmonian agama, toleransi dan persefahaman telah menjadi teras rakyat Sabah hidup secara aman dan harmoni.
"Kita berpegang kepada prinsip 'Fiqh Sabahi' yang juga diperkenalkan oleh Mufti Sabah iaitu fiqh kebijaksanaan dan hikmah dalam pergaulan, menjalin hubungan bermasyarakat, menjalankan nilai dakwah dan syiar Islamiah berdasarkan kehidupan pelbagai kaum serta agama di Sabah.
"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa agama akan kekal dengan hukuman yang sedia ada terhadap kesalahan 'takzir'.
"Takzir merupakan hukuman yang dijatuhkan atas kesalahan yang tidak dinyatakan bentuknya oleh syarak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya juga menjelaskan berhubung kenyataan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam akhbar tempatan pada 3 Januari lepas yang bertajuk “Mufti Sabah sokong hukum sebat di khalayak ramai”.
Antara lain, beliau dipetik turut menyokong pelaksanaan hukuman itu kerana ia mengikut syariat Islam.
"Kerajaan negeri ingin memaklumkan bahawa kenyataan Datuk Bungsu merupakan pendapat dan pandangan peribadi beliau dan sama sekali tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri berharap isu ini tidak terus dipolitikkan atau menjadi bahan perdebatan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan suasana yang kurang harmoni," katanya.