Sabah tingkatkan hubungan erat dan kerjasama strategik dengan China

Hajiji dan Tun Musa pada Resepsi Tahun Baharu Cina (Festival Musim Bunga) anjuran Konsulat Republik Rakyat China yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Khamis lalu.  


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan terus memperkukuh hubungan dan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama, khususnya rakyat kedua-dua pihak.  

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata hubungan erat antara Sabah dan China telah memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua pihak selama ini.  

“Kerajaan Negeri Sabah berharap dapat bekerjasama rapat dengan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk membawa hubungan Sabah-China ke satu tahap lagi, yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara. 

“Kita juga berkongsi kegembiraan dan harapan sempena Tahun Baharu Cina ini, dengan iltizam untuk terus meningkatkan hubungan baik antara Sabah dan China," katanya. 

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Resepsi Tahun Baharu Cina (Festival Musim Bunga) anjuran Konsulat Republik Rakyat China yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Khamis.  

Majlis resepsi itu turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, bersama tetamu kehormat lain.  

Hajiji turut menekankan kegembiraan Sabah untuk meneruskan hubungan baik dengan China sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini.  

Katanya, kerajaan negeri akan terus komited untuk memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan pembangunan melalui pelaksanaan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya.  

“Di Malaysia dan di Sabah khususnya, kita berasa bangga kerana perayaan Tahun Baharu Cina bukan saja disambut oleh masyarakat Cina, tetapi juga rakyat pelbagai kaum dan budaya di negeri ini turut sama-sama meraikannya,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama