TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo selepas disyaki melanggar syarat membawa muatan petroleum, Isnin lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kargo terbabit ditahan susulan maklumat risikan menerusi Ops Pluto Timur dan Ops Tiris, pada kedudukan 0.7 batu nautika selatan Jeti Kastam Tawau.
Beliau berkata bot kargo yang sarat membawa muatan minyak petrol, diesel dan gas cecair (LPG) itu dikesan sedang bergerak dari Perairan Tanjung Batu menuju ke Perairan Sebatik sebelum ditahan untuk pemeriksaan kira-kira jam 8.30 malam.
"Tiga lelaki tempatan berumur 33 hingga 45 tahun berada dalam bot kargo terbabit dengan membawa muatan 411 unit tong gas cecair petroleum (LPG) selain kira-kira 10,600 liter minyak petrol dan diesel yang diisi dalam tong drum berwarna biru.
"Hasil pemeriksaan lanjut dan dokumentasi mendapati bot terbabit adalah pembekal barangan bersubsidi ke Pulau Sebatik, namun telah melanggar peraturan semasa membawa muatan bahan petroleum selain mengabaikan aspek keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shahrizan berkata aspek keselamatan perlu diberi perhatian terutamanya ketika membawa muatan berbahaya dan mudah terbakar seperti produk petroleum bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
"Bot kargo bersama muatan dianggarkan sekitar RM136,000 itu kita sita untuk siasatan lanjut di bawah Akta
Perkapalan Saudagar (MSO) 1952," katanya.
-tamat-
Caption : Bot kargo yang sarat dengan muatan barangan bersubsidi ditahan Maritim Malaysia kerana disyaki mengabaikan aspek keselamatan semasa membawa muatan produk petroleum, Isnin lalu. Foto | Ihsan Maritim Malaysia.