165 PATI warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal

TAWAU 24 Januari 2025. Sebahagian PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, di Indonesia, semalam. - Foto | Ihsan IMEGRESEN Sabah.


TAWAU : Seramai 165 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipindahkan dari Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu dan Papar untuk dihantar pulang ke negara asal, semalam.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata pemindahan itu dilakukan melalui Terminal Feri Tawau, menggunakan perkhidmatan Feri Francis Express dan Labuan Express ke Pelabuhan Nunukan, di Indonesia.

Menurutnya, operasi pemindahan itu membabitkan seramai 90 orang lelaki, 39 wanita dan masing-masing 17 kanak-kanak lelaki serta 19 kanak-kanak perempuan masing-masing berumur antara tiga bulan sehingga 76 tahun.

"Semua PATI yang dipindahkan itu dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa. 

"Mereka telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan," katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

SH Sitti Saleha berkata, setakat Januari tahun ini, berdasarkan statistik yang direkodkan seramai 337 PATI sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing membabitkan warga Indonesia, 165 orang (49%), Filipina, 145 orang (43%), Pakistan, 14 orang, (4%), China, 11 orang (3%) dan 2 orang lain-lain warganegara (1%) 

Bagaiamanapun jelasnya, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Malaysia. 

"Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di kesemua empat Depot Imigresen Negeri Sabah untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang.

"JIM Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan," tegasnya.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama