Pejalan kaki cedera parah dilanggar motorsikal

Mangsa, seorang lelaki pejalan kaki menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital untuk rawatan lanjut. 

SEPANGGAR: Seorang pejalan kaki cedera parah setelah dilanggar sebuah motosikal jenis Honda Vario dalam kejadian yang berlaku di Jalan Besar Taman Jaya Diri, Teluk Sepanggar, di sini pagi tadi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu TPgB Ordine Gilu berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 9.00 pagi, dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu segera digerakkan ke lokasi kejadian. 

Menurut Ordine, kemalangan berlaku apabila motosikal yang dipandu seorang lelaki, dipercayai dalam perjalanan ke kawasan berdekatan, melanggar seorang pejalan kaki.

“Mangsa pertama, penunggang motosikal, mengalami cedera ringan, manakala mangsa kedua, pejalan kaki dilaporkan cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan Bomba hari ini. 

Menurutnya, kedua-dua mangsa menerima rawatan awal daripada Pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Bomba (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

“Setelah ahli bomba memastikan bahawa tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 9.31 pagi,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama