Sabah terus bekerjasama dengan Persekutuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat

Foto ihsan Sabah Electricity


TUARAN: Kerajaan negeri Sabah akan terus bekerjasama dengan Persekutuan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata ini termasuk inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

“Walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri, saya berharap agar kerjasama di antara kedua-dua pihak tetap utuh dengan menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi bagi memberikan kemudahan terbaik kepada rakyat,” katanya sempena Program Sabah Electricity bersama Komuniti, Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Dewan Seri Sulaman, di sini, pada Ahad.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri adalah pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan bermula 1 Januari hingga Jun 2025.

“Subsidi sebanyak RM50.9 juta diperuntukkan kepada pengguna domestik yang layak dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah yang terdiri juga dari golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS.

“Faktor utama masalah bekalan elektrik di negeri ini tidak hanya berkaitan dengan masalah kekurangan kapasiti penjanaan tetapi ditambah dengan kenaikan beban pengguna akibat pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Justeru, Kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada usaha memastikan Pelan Pembangunan Penjanaan jangka pendek berjaya dilaksanakan bagi mencapai jidar simpanan kapasiti penjanaan (generation capacity reserve margin) ke tahap 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan ini dan menambahbaik situasi bekalan elektrik di Sabah, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan terus bekerjasama dengan Sabah Electricity dalam memudah cara dan memberikan sokongan bagi melaksanakan Pelan Transformasi Sabah Electricity.

Sementara itu Hajiji berkata, kerajaan GRS-PH memberi layanan yang sama rata kepada setiap rakyat di negeri ini tanpa memikirkan perbezaan agama, kaum dan juga etnik.

“Inilah bukti keprihatinan dalam pentadbiran kerajaan GRS-PH. Oleh itu, saya berharap sempena majlis pada hari ini, kita rapatkan persaudaraan, perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di negeri ini.

“Dalam pada itu, sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum, kita amat bertuah kerana dapat menyambut pelbagai perayaan yang ada di negara ini.

“Krismas yang baru dirayakan oleh masyarakat Kristian pada bulan Disember lalu, manakala Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Tionghua dalam beberapa hari lagi, menunjukkan betapa negara ini menghargai dan menghormati setiap perayaan yang ada di negara ini,” katanya.

Beliau turut berharap agar amalan berkongsi perayaan dan menghormati perayaan kaum-kaum lain serta tradisi kunjung mengunjung di musim perayaan ini perlu diteruskan supaya kekal menjadi identiti masyarakat Malaysia yang unik lagi harmoni.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama