Mayat lelaki ditemui terapung di Jeti Pangkalan Pasar Umum Sandakan


   

SANDAKAN: Mayat nelayan warga asing ditemui dalam keadaan terapung dan tertiarap di tepi Jeti Pangkalan Pasar Umum, di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Reamasamy A/L Kuppan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 6.10 pagi.

Katanya, orang awam yang menemukan mayat berkenaan terus bertindak membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mayat seorang lelaki terapung di permukaan air, di tepi jeti tempat pemunggahan ikan. 

“Siasatan awal mendapati mangsa berusia 28 tahun, warganegara asing dan bekerja sebagai nelayan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Reamasamy berkata, hasil siasatan awal polis mendapati tiada menjumpai sebarang unsur jenayah dan khianat ke atas mayat tersebut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama