KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan telah mengenal pasti sebanyak lima kes keracunan disyaki berpunca daripada toksin ikan buntal setakat tahun ini.
Pengarah JKNS, Dr Maria Suleiman berkata dari lima kes terbabit, satu kes dikesan di Kota Kinabalu manakala empat kes dikesan di Kota Marudu dimana semua kes terbabit melibatkan individu berumur antara 15 sehingga 48 tahun.
Mengulas lanjut, menurutnya semua kes tersebut melaporkan gejala pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran
bernafas, selepas memakan ikan buntal yang dibeli daripada pasar setempat dan dimasak sendiri.
"Kesemua kes telah mendapatkan rawatan awal di hospital. Daripada lima kes yang dilaporkan, tiga kes telah dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan manakala dua kes masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
"Tindakan kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan oleh JKNS, termasuk pendidikan kesihatan kepada individu terlibat dan komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan ikan buntal atau pufferfish merupakan spesies ikan yang mengandungi toksin saraf (neurotoksin) yang dikenali sebagai tetrodotoksin (TTX).
Katanya, selain ikan buntal, TTX juga terdapat dalam beberapa spesies laut seperti belangkas (horseshoe crab) dan siput laut (Naticidae, Nassariidae), serta haiwan amfibia lain seperti katak beracun.
"Pencemaran TTX dalam makanan tidak dapat dikesan dengan mata kasar kerana tiada perubahan warna, bau, dan bentuk terhadap makanan yang tercemar. Individu yang memakan makanan yang mengandungi TTX boleh mengalami gejala keracunan seawal 10 hingga 45 minit.
"Tanda-tanda keracunan ini termasuk kebas pada bibir, lidah, dan muka, sakit kepala, pedih ulu hati, loya, cirit-birit atau muntah, serta kelumpuhan otot penting seperti otot pernafasan.
"Dalam kes yang teruk, kematian boleh berlaku dalam tempoh enam hingga 24 jam," katanya.
Disamping itu, pihaknya turut menasihati orang ramai agar mengelakkan pengambilan makanan yang disyaki mengandungi TTX kerana ia boleh membahayakan kesihatan.
"Jika mengalami gejala awal keracunan, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan," katanya.