Sabah peruntuk RM102.87 juta untuk pemeliharaan warisan budaya dan pengurusan alam sekitar

Ketua Menteri (3 dari kiri), ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut, Papar pada Sabtu.


KINARUT: Kerajaan Negeri Sabah komitmen terhadap pemeliharaan warisan budaya dan pengurusan alam sekitar sebagai usaha memacu industri pelancongan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengumumkan peruntukan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bagi tujuan operasi serta pelaksanaan program dan projek pembangunan pada tahun 2025.

“Usaha kita untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah dengan meningkatkan produk pelancongan juga selari dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan lebih 35 juta pelancong.

“Walaupun Sabah menyasarkan seramai 3.7 juta pelancong, namun sebagai persediaan untuk TMM 2026, kita mesti bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Justeru, pemain industri harus sedia dan lebih kreatif untuk menambah produk baharu pelancongan negeri ini”, katanya pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut, Papar pada Sabtu.

Ketua Menteri turut menyatakan keyakinannya bahawa pembinaan Kompleks Kebudayaan Sabah, yang terdiri daripada Kampung Budaya dan Pusat Kebudayaan, akan menjadi produk pelancongan baharu yang menawarkan pengalaman unik kepada pelancong.

Katanya, kompleks ini akan menjadi pelengkap kepada pusat kebudayaan sedia ada seperti Hongkod Koisaan, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, dan Pusat Kebudayaan Murut Tenom.

“Ini sekaligus menandakan permulaan kepada satu lagi mercu tanda penting bagi Sabah yang mencerminkan hasrat kita untuk memelihara, menghargai dan mengangkat warisan budaya negeri yang kaya dengan keunikan etnik dan tradisinya.

“Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan projek ini dapat dilaksanakan dengan cermat, mengikut garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Manfaat daripada kejayaan projek ini bukan saja dinikmati oleh generasi masa kini, malah pada masa akan datang”, ujar beliau lagi.

Ketua Menteri turut menyeru semua lapisan masyarakat, termasuk NGO, ketua jabatan, dan pemimpin komuniti, untuk terus memperkasa dan memelihara seni, budaya, serta warisan bangsa Sabah agar tidak hilang ditelan zaman.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini demi merealisasikan impian menjadikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan dan budaya”, tambahnya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama