![]() |
Anggota Polis berjaya merampas rokok seludup bernilai RM280,000 di Tawau. |
TAWAU: Rokok bernilai lebih RM280,000 disyaki diseludup masuk dari negara jiran berjaya dirampas di sebuah kawasan setinggan berhampiran bandar Tawau, di sini, semalam.
Rampasan itu dilakukan oleh Task Force Perisikan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau menerusi Op Taring Alpha.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 Tawau, Pemangku Superintenden Anselinus Marcus berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan rokok di kawasan berkenaan.
Katanya, pasukan Task Force Perisikan Batalion 14 PGA Tawau terus menjalankan serbuan di kawasan berkenaan yang diketuai oleh Ketua Platun Tektikal, Inspektor Ismail.
“Semasa serbuan dilakukan, dua lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang membawa kotak ke dalam sebuah bangunan kosong.
“Apabila cuba didekati, kedua-dua suspek terbabit melarikan diri ke kawasan perkampungan setinggan atas air berhampiran bangunan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 17 kotak mengandungi pelbagai jenis rokok dianggarkan bernilai RM283,640 disyaki diseludup dari negara jiran.
“Semua rampasan berkenaan diserahkan ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.