![]() |
Christina liew pada majlis pelancaran Karnival Tahun Baharu Cina yang diadakan di Padang Merdeka, di sini, malam tadi. |
KOTA KINABALU: Sebanyak RM70 juta tahun ini diperuntukkan untuk sekolah Cina, sekolah mubaligh, serta rumah ibadat bukan Islam, jumlah tertinggi yang pernah diberikan oleh Kerajaan Negeri setakat ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengumumkan peruntukan itu adalah sebuah komitmen Kerajaan untuk semua golongan yang ada di negeri Sabah.
“Ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk memenuhi keperluan setiap golongan,” katanya.
Kenyataan itu disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew, pada majlis pelancaran Karnival Tahun Baharu Cina yang diadakan di Padang Merdeka, di sini, malam tadi.
Menurut Christina, Hajiji menekankan bahawa komitmen kerajaan terhadap program-program rakyat adalah bersifat inklusif.
“Kita bersama-sama meraikan perayaan masing-masing yang telah banyak menyemarakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir negatif yang boleh menggugat perpaduan yang telah terjalin erat di Sabah.
Hajiji turut melahirkan rasa terima kasih kepada masyarakat Cina di Sabah atas sokongan mereka terhadap Kerajaan Negeri, khususnya dalam merealisasikan agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Katanya, kestabilan politik adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Adalah penting bagi kita semua untuk terus bersatu dan melindungi keamanan, keharmonian dan kestabilan politik kita bagi memastikan kemajuan dan pembangunan Sabah,” ujar beliau lagi.
Beliau menyifatkan pencapaian kerajaan pada tahun 2024, termasuk kutipan hasil hampir RM7 bilion serta pelaburan domestik dan asing berjumlah RM1.7 bilion, sebagai hasil kestabilan politik yang kukuh.
Beliau turut memuji usaha sama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dalam menjayakan karnival tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah atas sokongan berterusan dan kepercayaan mereka kepada Kerajaan GRS-PH untuk menerajui negeri ini,” tambahnya.