![]() |
Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Muhammad Affan Jumahat. |
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Muhammad Affan Jumahat tampil menjelaskan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menarik balik segera kenyataan 'palui' (bodoh) dalam ucapannya ketika di Kudat, baru-baru ini.
Katanya, Hamzah yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa tidak pernah merujuk perkataan 'palui' kepada orang Sabah.
"Sebaliknya ia merujuk kepada sikap tidak bertanggungjawab kepimpinan negeri, dan Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menarik balik segera kenyataan itu dalam ucapan yang sama ketika di Kudat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan kepada mana-mana pemimpin terutamanya dari parti nasional untuk menjaga adab apabila datang khususnya untuk tujuan berkempen di negeri ini.