TAWAU: Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS) komited mengatasi masalah air di negeri ini dengan melaksanakan beberapa langkah drastik bagi memastikan gangguan bekalan dapat diminimakan.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmy Yahya berkata beberapa tindakan yang sedang dan akan dilakukan supaya masalah air di negeri ini dapat diatasi dengan sebaiknya
Katanya, untuk jangka masa pendek, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan membuat pemotongan sambungan haram di kawasan dikenal pasti yang dilihat menjadi punca masalah air di seluruh negeri.
“Buat masa ini kita telah mengadakan program mengurangkan kadar air tidak berhasil ataupun sambungan-sambungan haram di negeri ini.
“Selain itu, kita juga mempunyai program menggantikan paip-paip lama yang mudah pecah dan bocor di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina dan lawatan ke projek Empangan Air Cinta Mata di Gudang Empat, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Shahelmy berkata, pihaknya juga sudah melantik panel-panel kontraktor bagi tujuan membaiki pam atau peralatan yang rosak di setiap loji di negeri ini.
“Dengan adanya kontraktor ini, kita berharap apabila sesuatu kerosakan berlaku akan lebih cepat ditangani bagi memastikan gangguan bekalan air tidak lama,” katanya.
Sementara itu, katanya, masalah air di daerah Tawau memang mendapat perhatian KKRS dan didapati bekalan itu semakin mengecil berbanding dengan permintaan.
Maka itu, katanya, kerajaan negeri sedang membina Empangan Air Cinta Mata di Gudang Empat Tawau yang dijangka siap menjelang tahun depan.
“Apabila empangan itu siap, jumlah bekalan air dirawat akan mencukupi untuk jangka masa yang panjang dan ia juga mengatasi masalah bekalan air di daerah ini.
“Kita juga sudah memaklumkan pengarah JANS untuk memasukkan perolehan lori tangki yang baharu supaya proses penghantaran air dapat dilakukan lebih efisen apabila berlaku catuan air,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Shahelmy berkata, kementeriannya juga terus memberikan perhatian terhadap masalah jalan raya yang rosak dan berlubang di jalan negeri, Persekutuan serta luar bandar.
“Kita akan cuba mengatasi masalah berkenaan dengan sebaiknya kerana banyak jalan raya yang rosak ketika ini disebabkan sudah melebihi tempoh had.
“Namun, kita mempunyai konsesi-konsesi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara jalan berkenaan dan berharap mereka dapat menunaikan kerja seperti yang ditetapkan dalam kontrak,” katanya.