Projek Bekalan Air Kasigui dijangka siap Mei 2025

Shahelmey (tengah) sewaktu sidang media selepas lawatan kerja ke tapak pembinaan Projek Urgent Water Supply Scheme Kasigui.

 
PENAMPANG – Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya, hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Projek Urgent Water Supply Scheme Kasigui, Penampang, di sini hari ini.

Projek yang mula di bina pada Mei 2024, dijangka siap menjelang Mei 2025 dan akan meningkatkan kapasiti bekalan air sebanyak 5 juta liter sehari.

Menurut Shahelmey, kerja-kerja fizikal di tapak pembinaan kini sedang berjalan lancar dan menunjukkan kemajuan yang positif.

"Saya mengambil kesempatan untuk melihat sendiri status kemajuan kerja semasa di tapak dan mendengar taklimat yang diberikan oleh pihak JETAMA Sdn Bhd.

"Daripada taklimat yang diberikan, kita melihat bahawa kerja-kerja fizikal di tapak telah pun bermula," katanya sewaktu sidang media selepas lawatan kerja ke tapak pembinaan Projek Urgent Water Supply Scheme Kasigui.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan di tapak pembinaan. Shahelmey menyatakan bahawa langkah penyelesaian telah dikenalpasti, dan kerja-kerja pembinaan akan dipercepatkan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

"Jadi amat besarlah harapan kita apabila projek ini siap, maka ada tambahan 5 juta liter sehari kapasiti air untuk dibekalkan ke dalam rangkaian bekalan air kepada pengguna kita," tambahnya.

Shahelmey turut menjelaskan beberapa isu berkaitan gangguan bekalan air di kawasan Kota Kinabalu dan Putatan. Masalah ini berpunca daripada tekanan air rendah akibat kadar Non-Revenue Water (NRW) yang tinggi serta kerosakan paip yang tidak disedari.

"Antara punca kenapa tekanan air rendah adalah kerana NRW kita masih berada dalam keadaan yang agak tinggi. Kedua, ada paip-paip yang pecah yang tidak disedari. Ketiganya, pihak Jabatan Air juga sedang membuat koordinasi untuk melaksanakan water balancing dan pressure balancing di sekitar kawasan Pantai Barat Selatan ini," ujarnya lagi.

Projek Urgent Water Supply Scheme Kasigui dijangka mampu mengurangkan masalah bekalan air di kawasan Penampang, Kota Kinabalu, dan Putatan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan tersebut.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama