Armizan gesa projek pembinaan muka sauk kedua di Kampung Kabang dilaksanakan segera

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali ketika membuat tinjauan Loji Rawatan Air EWSS Limbahau - Gambar Facebook rasmi Datuk Armizan Mohd Ali

PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menggesa agar pihak yang terlibat dalam projek pembinaan muka sauk kedua di Kampung Kabang dilaksanakan dengan kadar segera.

Dalam satu video tular yang dimuat naik dalam laman media sosial, beliau membuat tinjauan ke Loji Rawatan Air EWSS Limbahau, yang sedang dalam proses pemulihan berikutan kekeruhan dan kandungan klorida yang tinggi, baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, menurutnya LRA EWSS telah mula beroperasi sepenuhnya namun pengoperasian akan bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Disamping itu, dalam video berkenaan, Armizan meluahkan rasa kesal susulan projek pembinaan muka sauk kedua di Kampung Kabang belum dimulakan.

"Saya sedih sedikit kerana sehingga kini, sudah tahun baru 2025 nampaknya projek itu belum lagi bermula. Jadi saya mahu supaya agensi yang dipertanggungjawabkan dapat memastikan projek ini dimulakan dengan segera. Ini bukan projek biasa-biasa, ini projek kecemasan.

"Komitmen tinggi diberikan oleh Ketua Menteri kita yang meluluskan peruntukan serta merta. Atas asas inilah dalam projek kecemasan yang telah menganggu urusan harian masyarakat di Papar.

"Ketua Menteri telah luluskan dan saya harap pihak yang bertanggungjawab dapat laksanakan segera. Saya harap agensi tersebut beri maklum balas segera dan yang kedua, mulakanlah kerja. Kalau jalan raya mungkin kita boleh ada jalan raya alternatif, tapi kalau tiada air memang urusan seharian akan terganggu.

"Saya pastikan akan maklumkan Ketua Menteri kerana nampaknya komitmen tinggi beliau yang beliau umumkan pada 19 Mac (tahun lepas) dengan penyaluran peruntukan segera nampaknya belum dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu," katanya menerusi video tular itu.

Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri telah meluluskan cadangan pembinaan muka sauk kedua di Kampung Kabang sebagai alternatif untuk mengatasi masalah bekalan air yang berlarutan di daerah ini akibat kemarau.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata cadangan hasil inisiatif pejabat Parlimen Papar itu bakal dibincangkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd.






Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama