Anggota polis didakwa atas tuduhan terima dan minta rasuah

 

Tertuduh (kiri) mengaku tidak bersalah sewaktu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kota Kinabalu atas dua pertuduhan rasuah membabitkan jumlah wang RM3,800


KOTA KINABALU – Seorang anggota polis dari Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), mengaku tidak bersalah sewaktu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Kota Kinabalu atas dua pertuduhan rasuah membabitkan jumlah wang RM3,800.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga, melibatkan kes membabitkan permintaan dan penerimaan suapan untuk tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dadah di Kudat, Sabah.

Tertuduh, Zakaria Mohd Jasni, 39, didakwa menerima dan cuba meminta suapan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dadah di Kudat.

Zakaria, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, didakwa melakukan kesalahan pertama pada 18 Jun 2021 di cawangan Maybank Putatan. Beliau dituduh menerima wang sebanyak RM1,800 daripada seorang pengedar dadah, Peter Chang Nyuk Ming, melalui akaun bank pihak ketiga.

Menurut pertuduhan, suapan tersebut adalah untuk memastikan tindakan tidak diambil terhadap aktiviti pengedaran dadah oleh Chang di daerah Kudat.

Untuk tuduhan kedua, Zakaria didakwa cuba memperoleh suapan sebanyak RM2,000 pada hari yang sama sekitar jam 12.20 tengah hari di Fook Soon Seafood Product Sdn Bhd, Kudat.

Perbuatan tersebut juga bertujuan untuk tidak mengambil tindakan terhadap aktiviti yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, mewakili pihak pendakwaan, dan Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 Februari 2025.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama