![]() |
Suspek ditahan kira-kira jam 7.50 malam di sebuah rumah di sini, kerana di syaki merogol kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun, Rabu lalu. Foto | Ihsan PDRM |
TAWAU : Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun yang juga cucu jirannya di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat sini, kelmarin (Rabu)
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 7.50 malam susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang ditemani neneknya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat mangsa kejadian itu terbongkar selepas mangsa menceritakan sendiri kepada neneknya bahawa dia dirogol dan dicabul oleh suspek sebanyak tiga kali dengan kejadian pertama pada bulan Jun dan pada awal serta pertengahan Julai lalu.
"Berikutan laporan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau membuat serbuan ke atas sebuah rumah dan berjaya menahan seorang lelaki lingkungan umur 30 tahun.
"Suspek adalah jiran kepada mangsa yang disyaki terlibat dalam kes rogol sebagaimana yang dilaporkan dan disiasat pihak polis," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pernah disabitkan dengan kesalahan dibawah seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Awam 2012.
"Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Sekyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan," katanya.