Empat PPS diaktifkan, 10,000 penduduk terjejas akibat banjir di Pitas

Anggota-anggota APM membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas akibat hujan berterusan untuk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pitas. 


PITAS: 10,000 orang penduduk dianggarkan terjejas banjir akibat hujan berterusan dan 213 mangsa telah ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan di daerah Pitas, sejak Jumaat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pitas, Asdi @ Mohd Faizal Hussin berkata, kawasan banjir itu melibatkan kampung-kampung yang terkurung, kampung terjejas, serta jalan raya yang tidak dapat dilalui.

Beliau turut menjelaskan bahawa paras air di Sungai Kabatsan yang mencecah 4.57 meter dan Sungai Bengkoka 2.69 meter, kedua-duanya melebihi paras bahaya, PPS di Pitas telah diaktifkan selepas mendapat persetujuan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta perkenan Pengerusi JPBD.

Antara mangsa banjir yang berada di dewan PPS, semalam. 


Katanya, empat PPS dibuka bagi menampung mangsa banjir, iaitu PPS Dewan Kusilad, PPS Dewan SK Pekan II, PPS SK Salimpodon Darat (N.3 Bengkoka) dan PPS Ad hoc Balairaya Kg Lugu.

Menurut beliau, mangsa banjir di PPS Dewan SK Pekan II adalah merangkumi 15 lelaki, 36 wanita, 30 kanak-kanak lelaki, 21 kanak-kanak perempuan, tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.

“Manakala, bagi PPS SK Salimpodon Darat (N.3 Bengkoka) pula meliputi 10 lelaki dewasa, 24 wanita, lima kanak-kanak lelaki, enam kanak-kanak perempuan serta seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan.

“Seramai 29 lelaki, 25 wanita, masing-masing lima kanak-kanak lelaki dan perempuan serta dua bayi Perempuan yang berada di PPS Ad hoc Balairaya Kg Lugu,” katanya dalam satu kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (Jpbd) Pitas pada Jumaat lalu.

Sementara itu, beliau menyatakan bahawa bencana banjir ini menyebabkan 16 batang jalan tenggelam dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Antara Jalan-jalan yang terjejas termasuk Jalan Kg Manduring Laut, Jalan Salungkapit, Jalan Dandun Seberang, Jalan Bilangau Besar, Jalan Dandun Pusat dan Jalan Dandun Laut, Jalan Dandun Darat, Jalan Kg Masin, Jalan Layung, Jalan Rukom, Jalan Sulakalung, Jalan Sinukab, Jalan Pangkalan Kanibongan, Jalan Pandai Mandamai, Jalan Kg Kusilad, dan Jalan Kg Layang.

Di samping itu, beliau turut mengesahkan bahawa dua sekolah yang terkesan, iaitu Sekolah Kebangsaan Nibang dan Sekolah Kebangsaan Pandai Mandamai.

Menurut Asdi, Jabatan Penerangan Negeri Sabah melalui Pejabat Penerangan Daerah Pitas akan menyebarkan maklumat terkini melalui media sosial untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.

Beliau turut menasihatkan Masyarakat Pitas agar mematuhi arahan pemindahan, mengutamakan keselamatan anak-anak, dan memastikan dokumen penting dibawa jika berpindah ke PPS.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang dianggotai pelbagai agensi serta jabatan dan telah diaktifkan 24 jam di Bangunan Urusetia Pitas, Pejabat Daerah Pitas, Blok A, Tingkat 1 atau menerusi talian 088-615655,” tambahnya.







Disiarkan pada:

1 Ulasan

Terbaru Lebih lama