PKR Sabah serah Majlis Presiden PH putuskan isu pertikaian Pengerusi PH Sabah


KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkenaan isu termasuk pertikaian pemilihan Pengerusi PH Sabah yang berlaku baru-baru ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menjelaskan Majlis Presiden PH hanya akan memainkan peranan untuk campur tangan sekiranya terdapat pertikaian yang berlaku.

"Sebenarnya pemilihan (pengerusi PH) itu sendiri pun perlu dibawa ke Majlis Presiden, apatah lagi (jika berlaku) pertikaian. Bila ada pertikaian berlaku, maknanya perkara ini perlu dibawa ke Majlis Presiden dan Majlis Presiden akan buat keputusan.

"Peranan Majlis Presiden bukan untuk menentukan PH Sabah tetapi campur tangan apabila pemimpin tempatan tidak dapat menyelesaikan sendiri perkara itu. Ini selaras dengan perlembagaan PH," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mustapha turut berkata pihaknya juga telah menghantar laporan berkenaan perkara terbabit kepada sekretariat PH pusat untuk pertimbangan selanjutnya.

Selain itu, walaupun beliau mengakui pemilihan (Pengerusi PH) secara teknikal telah dijalankan dengan betul namun pada masa sama turut menyatakan terdapat faktor lain juga perlu dipertimbangkan.

Dalam perkembangan lain, media melaporkan sebelum ini melaporkan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah baharu bagi menggantikan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Datuk Seri Christina Liew pada tahun lalu.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama