SANDAKAN: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) terutamanya ketua penerangan di peringkat daerah perlu berperanan sebagai penyebar maklumat yang sahih dan memantau setiap ahli.
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, ketua penerangan di setiap bahagian perlu memastikan setiap ahli tidak menjadi seorang pengkhianat.
Katanya, setiap ahli terutama yang berjawatan dalam parti dan kerajaan yang memasang ‘dua kaki’ wajar diawasi kerana ia bakal menjadi duri dalam daging.
“Kita tidak akan bertolak ansur kepada ahli parti yang culas, jika terbukti mereka menjadi proksi pembangkang perlu disingkirkan serta-merta.
“Saya menggesa setiap bahagian dan ketua penerangan memastikan supaya tidak ada ahli yang cuba memainkan dua peranan politik iaitu dalam kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan bengkel penerangan Zon 9 dan 10 di sini semalam. Turut hadir Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Mengulas lanjut, katanya, pengkhianat parti umpama barah, jika tidak dicantas segera ia akan merebak menjadi lebih parah.
Katanya, ketua-ketua penerangan Gagasan Rakyat wajar memainkan peranan sebagai penyebar propaganda politik yang efektif untuk menangkis tomahan pembangkang menerusi media sosial.
“Unit Penerangan Gagasan Rakyat perlu diaktifkan sebagai kilang yang mampu melahirkan pekerja berkemahiran tinggi dalam institusi media,” katanya.
Masiung mahu ahli Gagasan Rakyat mahir menggunakan aplikasi tiktok supaya boleh berhujah memerangi penerbitan media sosial pembangkang.
Katanya, setiap anggota jawatankuasa parti perlu memerangi tomahan dan fitnah pembangkang menerusi media sosial secara habis-habisan.
“Kita 'gasak' habis-habisan tomahan pembangkang menerusi media sosial, jangan bagi mereka peluang untuk mengaibkan kita,” katanya.