Enam maut dalam kemalangan ngeri babitkan tiga kenderaan


SEMPORNA: Enam maut dalam satu kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, petang tadi.

Semua mangsa termasuk seorang bayi terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.58 petang.

Katanya, tujuh anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Kemalangan membabit sebuah kereta Proton Wira, Isuzu D-Max dan Toyota Innova dengan jumlah mangsa seramai 15 orang.

“Enam termasuk seorang bayi yang menaiki Proton Wira terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 7.16 malam,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama