![]() |
Nizam pada majlis apresiasi anugerah kecemerlangan dan makan malam Pertubuhan Seni Silat Gayung Panji Alam Malaysia peringkat negeri Sabah, semalam. |
TAWAU: Pertubuhan seni silat diminta mengambil inisiatif membuka gelanggang latihan di kawasan luar bandar sebagai usaha memperkasa seni mempertahankan diri warisan bangsa di negara ini
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata seni silat perlu dikembangkan bagi memastikan ia tidak tenggelam ditelan zaman.
Katanya, langkah itu juga bertujuan memastikan generasi muda di kawasan pedalaman tidak ketinggalan dalam mempelajari seni silat dan memahami nilai-nilai budaya tradisional.
“Kita mahu pertubuhan seni silat mendekatkan masyarakat luar bandar dengan seni warisan dan pada masa yang sama, mengukuhkan perpaduan komuniti.
“Saya yakin melalui usaha itu dapat melahirkan lebih ramai pelapis muda yang bukan sahaja mahir dalam seni silat tetapi juga menjadikan silat sebagai landasan membentuk sahsiah dan disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis apresiasi anugerah kecemerlangan dan makan malam Pertubuhan Seni Silat Gayung Panji Alam Malaysia peringkat negeri Sabah, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, pertubuhan silat juga mampu bergerak lebih jauh dengan mengambil langkah proaktif membuka gelanggang di luar negara.
“Ia bertujuan memperkenalkan seni mempertahankan diri tradisional ini ke peringkat antarabangsa sambil mempromosikan budaya Malaysia.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada Pertubuhan Seni Silat Gayung Panji Alam Malaysia kerana sudah berjaya membuka gelanggang di Thailand dan Mesir,” katanya.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan negeri juga akan sentiasa menyokong usaha pertubuhan seni silat dikembangkan di seluruh Sabah.
Menurutnya, sebagai salah seorang wakil rakyat di daerah ini akan sentiasa memberikan komitmen dan dokongan yang baik untuk setiap program yang dianjurkan oleh pertubuhan seni silat ini.
“Saya juga akan berbincang dengan kepimpinan di peringkat masjid dalam DUN Apas supaya mereka dapat membuka gelanggang silat sebagai usaha untuk menarik minat orang muda.
“Ia juga dilihat satu usaha supaya orang muda melakukan perkara yang sihat dan menghindarkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak berguna seperti penyalahgunaan dadah,” katanya.