![]() |
Su Fui sempat melawat mangsa kebakaran Kampung Sri Aman Dua di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, semalam. |
TAWAU: Kerajaan Persekutuan diminta menyalurkan peruntukan untuk membina rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi menangani isu penempatan setinggan di daerah ini.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata pembinaan lebih banyak rumah PPR adalah cara untuk mengatasi isu ini yang sekian lama dihadapi di negeri Sabah.
Katanya, Sabah terutamanya di Tawau masih mempunyai banyak penempatan setinggan atas air yang tidak tersusun dan selalu berlakunya kebakaran besar di kawasan berkenaan.
“Kita tahu rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah tiada pilihan selain terpaksa tinggal di kawasan setinggan kerana kos membeli atau membina rumah di tapak sendiri sangat tinggi.
“Justeru, saya melihat jalan terbaik untuk mengatasi isu ini adalah membina lebih banyak rumah PPR supaya rakyat mendapat tempat tinggal yang selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Sri Aman Dua di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, semalam.
Menurutnya, perkara itu sudah berulang kali diutarakan di Dewan Rakyat, namun masih belum ada tindakan sehingga ke hari ini.
“Saya akan terus menyuarakan isu ini supaya kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil perhatian sewajarnya,” katanya.
Mengulas mengenai permintaan mangsa kebakaran untuk membina semula rumah di kawasan berkenaan, beliau berkata, ia bergantung kepada status tanah penempatan berkenaan.
Lo berkata, pihaknya akan merujuk kepada Jabatan Tanah dan Ukur untuk mengetahui status tanah di kawasan itu sebelum sebarang binaan struktur dilakukan.
“Semua mangsa kebakaran di sini diharap bersabar terlebih dahulu dan kami sebagai wakil rakyat kerajaan akan terus membantu mengikut kapasiti masing-masing.
“Saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan akan memohon peruntukan kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban semua keluarga terlibat,” katanya.