![]() |
Suspek ditahan polis selepas menyerang rakan sekerja menggunakan sebilah parang. Foto / Ihsan PDRM |
TAWAU : Masalah peribadi dipercayai menjadi punca seorang pekerja ladang cedera di bahagian lengan kirinya akibat dilibas dengan parang oleh rakan sekerjanya, Jumaat lalu.
Dalam kejadian di kawasan perumahan pekerja ladang dekat Merotai Besar itu, mangsa lelaki tempatan berusia 30 tahun dikatakan diserang suspek, kira-kira jam 7 malam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati selepas gagal menyelesaikan masalah peribadi yang berlarutan antara mereka.
Beliau berkata, suspek yang berang kemudiannya mengambil parang dari rumahnya.
"Keadaan bertambah tegang apabila suspek yang dalam keadaan marah bertindak agresif sebelum dilihat dan melibas parang ke arah mangsa.
"Tindakan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian lengan tangan kiri sebelum tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan Balai Bombalai berjaya menahan suspek lelaki India berumur 47 tahun, di lokasi sama.
Tambahnya, polis turut merampas sebilah parang berukuran 23 inci yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.
Katanya, hasil semakan mendapati, suspek memiliki satu rekod jenayah lampau dan pernah disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya," katanya.