Pemandu pacuan empat roda terbabit kemalangan meninggal dunia

Kemalangan membabitkan sebuah van dan pacuan empat roda di Kilometer 51 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, pagi tadi. Foto / Ihsan Bomba.


SEMPORNA : Pemandu pacuan empat roda yang parah selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 51 Jalan Semporna -Tawau dekat sini, pagi tadi, dilaporkan meninggal dunia di hospital.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, mangsa Mohd Zaki Abd Nasip, 38, yang mengalami kecederaan parah sebelum itu dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Semporna namun dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang memandu pacuan empat roda jenis Toyota Vigo dari arah Tawau menuju ke Semporna dipercayai telah hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan mengakibatkan perlanggran.

"Impak dari pelanggaran itu, pemandu van, Taufik Baco, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala mangsa yang parah dibawa ke untuk menerima rawatan namun dilaporkan meninggal dunia.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Hemkumar Ayathuray di talian 012-3650021 atau menghubungi talian balai 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama