IDS fokus basmi kemiskinan tahun ini - Azizah

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun bergambar bersama warga IDS

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada usaha membasmi kemiskinan yang masih membelenggu lapan daerah di negeri ini.

Pengerusi IDS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi menangani masalah berkenaan bagi membolehkan seluruh lapisan rakyat mampu menikmati arus kemajuan dan pembangunan di Sabah.

"Pada tahun ini, IDS sebagai sebuah agensi pemikir utama kerajaan negeri Sabah perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan kajian strategik bagi mengenal pasti punca utama mengapa masih terdapat lapan daerah termiskin di Sabah ini.

"Daerah tersebut ialah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu. Kajian yang dilaksanakan mestilah bersifat menyeluruh, komprehensif, dan telit, dengan matlamat utama untuk merangka penyelesaian yang praktikal dan berkesan.

"Situasi ini bukan sahaja mencabar, tetapi juga amat menyedihkan bagi kita jika tidak ditangani segera. 

"Justeru, IDS perlu memikul tanggungjawab ini bukan hanya untuk membantu daerah tersebut keluar daripada senarai daerah termiskin di Malaysia, tetapi juga demi meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat Sabah secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Dewan IDS, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Dr Rem Dambul.

Dalam pada itu, Azizah turut menggesa warga IDS agar segera menyediakan senarai cadangan penyelesaian yang bernas sebagai pelan tindakan membasmi kemiskinan itu.

"Usaha ini perlu dilaksanakan dengan segera supaya lapan daerah ini dapat keluar daripada status termiskin, sekaligus mencipta perubahan yang bermakna kepada kehidupan rakyat di kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, pelan tindakan tersebut juga adalah sejajar dengan usaha memperkukuhkan ekonomi negeri dan mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat.

Susulan itu, katanya kajian teliti dan bersasar perlu dilaksanakan untuk mencadangkan pendekatan serta strategi yang sesuai dengan keperluan setiap daerah dan lokaliti.

"Kajian yang mengambil kira perbezaan geografi, sumber ekonomi, serta keunikan komuniti setempat ini akan membantu kita merangka langkah penyelesaian yang lebih relevan dan berkesan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

"IDS juga perlu memberi fokus kepada kajian keusahawanan yang menyeluruh dan komprehensif. 

"Kajian ini bertujuan untuk memperkasakan usahawan sedia ada terutamanya di kawasan luar bandar dengan memberikan sokongan yang dapat meningkatkan daya saing serta taraf perniagaan mereka," katanya.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama