SANDAKAN: Seorang pelancong warga China dilaporkan maut akibat cedera ditimpa dahan pokok besar di Rainforest Discovery Centre (RDC), di sini, petang tadi.
Dalam kejadin kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa lelaki berusia 74 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess Of Kent (HDOK).
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata hasil siasatan awal mangsa bersama empat keluarganya mengunjungi pusat pelancongan di RDC Sandakan.
“Semasa dalam perjalanan keluar dari RDC Sandakan, mangsa telah ditimpa dahan sebatang pokok besar yang tiba-tiba jatuh mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Mangsa terus dibawa ke Unit Kecemasan HDOK untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.28 petang tadi,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Abdul Fuad berkata, mayat mangsa kini berada Unit Forensik HDOK untuk proses bedah siasat yang akan dijalankan esok jam 2 petang.
“Kes berkenaan diklasifikasikan dan disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya.