![]() |
Maritim Malaysia menahan tiga individu selepas disyaki melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan. Foto | Ihsan Maritim Malaysia. |
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, bot ronda Maritim Malaysia berjaya mengesan bot berkenaan pada kedudukan 0.8 batu nautika Timur Laut Kunak, sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
Pengarah Maritim, Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, pemeriksaan awal mendapati bot terbabit dikendalikan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Filipina masing-masing berumur antara 19 hingga 53 tahun.
"Selepas diperiksa didapati bot berkenaan melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan.
"Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa Jeti Perikanan Lahad Datu untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan akan terus meningkatkan rondaan serta pemantauan di kawasan perairan negara.