MPPS platform angkat suara mahasiswa dan pelajar Sabah



KOTA KINABALU: Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) Siri 3.0 menjadi platform kepada mahasiswa dan pelajar Sabah menyuarakan pandangan mereka secara terus kepada kerajaan melalui pelbagai isu dan aspirasi rakyat seperti pendidikan, kerjaya, ekonomi, pelancongan, alam sekitar, dan isu-isu berkaitan pembangunan negeri Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang hadir mewakili Ketua Menteri Sabah mengatakan mahasiswa adalah modal insan yang menjadi teras utama kerajaan Sabah di dalam pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025.

“Inilah yang dimaksudkan oleh YAB Ketua Menteri bahawa mahasiswa adalah modal insan yang sangat penting untuk memperkasa hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmiaan dan Penutupan MPPS Siri 3.0 di Raia Hotel, Kota Kinabalu, di sini pada Khamis semalam.

Menurut Arifin, segala pandangan dan cadangan yang dikemukakan para pelajar akan diteliti dengan serius oleh kerajaan negeri.  

"Kita memetik input yang mereka kemukakan dan yang mana boleh kita laksanakan, akan dilaksanakan dan ditambah baik. Ini kerana Mahasiswa merupakan modal insan yang penting dalam memperkasa hala tuju Sabah Maju Jaya,"katanya.  

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Jabatan Ketua Menteri Sabah atas usaha menganjurkan program ini selama tiga tahun berturut-turut.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada IKRAR dan Kementerian Belia dan Sukan yang telah menyelaras program ini dengan jayanya. 

“Ini adalah edisi ke-3 pada tahun ketiga, tahun pertama dilancarkan oleh YAB Ketua Menteri dan beliau sendiri mengupas dan mengambil maklum semua cadangan daripada kluster-kluster yang telah ditetapkan,” katanya. 

MPPS Siri ke-3 yang melabuhkan tirainya semalam berjaya mengumpulkan 80 pimpinan pelajar daripada lebih 40 institusi pengajian tinggi di negeri ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama