KOTA KINABALU: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengendalikan sektor perlombongan negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) telah memulakan prosiding undang-undang bagi menangani dakwaan salah laku dan pecah amanah melibatkan bekas kakitangan syarikat terbabit dan pihak luar.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat terbabit memaklumkan bahawa tindakan undang-undang tersebut bertujuan mendapatkan ganti rugi atas penipuan, pelanggaran tanggungjawab fidusiari dan kerahsiaan, pengubahsuaian dokumen rasmi, konspirasi untuk mencederakan dengan cara yang tidak sah, serta potensi pakatan sulit dengan pihak ketiga.
Kes tersebut melibatkan bekas kakitangan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM, Jontih Enggihon @ Jontih Inggihon serta pihak luar Tei Jiann Chieng yang turut dikenali sebagai Albert Tei.
"SMM mengambil tindakan ini bagi melindungi kepentingannya, selain kepentingan kerajaan negeri dan rakyat Sabah.
"Syarikat akan terus mengekalkan piawaian tertinggi tadbir urus korporat dan kekal bertanggungjawab kepada negeri dan rakyat," jelas dalam kenyataan terbabit.
Dalam kenyataan terbabit turut menjelaskan laporan mengenai salah laku membabitkan bekas CEO SMM, bersama potensi pakatan sulit dengan pihak ketiga juga telah dkemukakan dengan agensi penguatkuasa berkaitan.
Ia termasuk pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyokong siasatan yang lebih meluas mengenai perkara itu dan pematuhan terhadap kewajipan kawal selia.