SANDAKAN: Mayat seorang lelaki warga asing ditemui terapung di tepi Jeti Pangkalan Pasar Umum Bandar Sandakan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jam 9.30 malam.
Katanya, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan mendapati mayat lelaki terbabit ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air, di tepi jeti tempat pemunggahan ikan.
“Identiti mangsa sudah dikenal pasti iaitu warganegara asing berusia 35 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar di Jeti Pasar Ikan,” katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut berikutan hasil siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan khianat terlibat dalam kes ini.
"Mayat mangsa kemudiab dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) untuk tujuan bedah siasat.
" Proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 11 pagi esok, "katanya.