Kasi bagus dulu parti kamu sebelum sibuk kasi bagus Sabah, Hamzah diberitahu



KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat memberi peringatan kepada Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk 'memperbaiki' kepimpinan dan urus tadbir pihaknya dulu sebelum mengeluarkan kenyataan ingin mengubah kerajaan negeri ini.

"Pesan kami, kasi bagus dulu parti kamu sebelum sibuk kasi bagus Sabah" kata Naib Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Hamzah yang menyatakan rakyat Sabah perlu memilih PN untuk mengubah kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dan tular dalam laman media sosial, beliau berkata Sabah menerusi kepimpinan GRS telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang signifikan baik dalam kutipan hasil negeri dimana selama tiga tahun berturut-turut mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.

"Dalam tempoh empat tahun ini juga, pelbagai nikmat diperolehi rakyat baik dalam soal pendidikan (BUDI, BAKTI, BAGUS, BAIK dan lain-lain), pelaksanaan inisiatif untuk pelajar termasuk subsidi penerbangan sebanyak RM600 seorang (pelajar Sabah di Semenanjung, Sarawak dan Labuan), subsidi pengangkutan sebanyak RM300 seorang (pelajar Sabah dalam negeri) dan banyak lagi. 

"Pertama kali dalam sejarah juga diperkenalkan inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat dengan pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan selama 12 bulan kepada miskin dan miskin tegar di Sabah selain peningkatan dana pembinaan Rumah Mesra SMJ (projek kerajaan negeri bagi membolehkan golongan memerlukan memperoleh rumah secara percuma).

"Perancangan rapi kerajaan negeri dalam soal tenaga boleh diperbaharui akan dapat mengatasi gangguan bekalan elektrik (serta air) dalam tempoh tiga hingga lima tahun mendatang dengan pelaksanaan projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dan round off river di Tenom, projek gas engine di KKIP dan Sipitang.

"Selain itu, pelaksanaan solar farm di 15 kawasan seluruh negeri yang pasti menambah kapasiti grid bekalan elektrik seluruh Sabah, selain perancangan dan pelaksanaan loji rawatan air bagi memastikan bekalan air sentiasa memenuhi keperluan dan permintaan.

"Komitmen ini jelas menunjukkan kerajaan GRS memiliki keupayaan untuk membawa Sabah lebih maju pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kenyataan Hamzah sebelum ini yang dilaporkan memberi bayangan akan bertanding sebanyak 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) akan datang.

"Namun, kenyataan beliau yang partinya akan bertanding di lapan belas kawasan DUN nyata menimbulkan persoalan, adakah mereka akan bergabung dengan parti lokal kelak? 

"Seingat saya, beberapa program yang dibuat oleh parti beliau di Sabah turut dihadiri oleh pemimpin sebuah parti lokal yang pernah menerajui negeri Sabah. Jika ini benar, PRN17 Sabah bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga blok parti politik," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama