![]() |
Razali |
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggerakkan jentera di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengesan golongan miskin dan miskin tegar.
Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohd Razali Mohd Razi berkata langkah terbabit diambil bagi memastikan golongan yang tersenarai dalam kriteria penerima tidak tercicir untuk menerima manfat Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2025.
"Senarai nama yang dikumpul akan diserahkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pelaksanaan program ini.
"Mekanisme pelaksanaan Program SYUKUR telah diluluskan oleh kabinet negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu lalu telah mengarah pelaksanaan bantuan program ini dengan serta merta.
"Di bawah program ini, ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar di Sabah akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM300, yang akan dilaksanakan secara berperingkat setiap suku tahun," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
SYUKUR merupakan antara inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan bebas sara hidup rakyat.
Ia juga merupakan tambahan kepada program bantuan tunai yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).