Jaga adab, jangan hina orang Sabah guna perkataan 'palui’ - Hajiji



KENINGAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengingatkan kepada mana-mana pemimpin terutamanya dari parti nasional untuk menjaga adab apabila datang khususnya untuk tujuan berkempen di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor disamping itu turut mengingatkan kepada pemimpin tempatan lain untuk sentiasa bersatu hati agar pihak tertentu tidak mengambil kesempatan untuk memecah belahkan keharmonian di Sabah.

"Kita tahu politik kita selama ini bagaimana .. kalau kita berpecah, kalau kita asyik bergaduh maka orang lain yang akan mengambil kesempatan.

"Kerana itu banyak pemimpin dari seberang datang. Saya beritahu mereka kalau datang, mereka mesti bersopan santun datang ke negeri kita. Jangan bawa perangai daripada sebelah sana kepada negeri sabah yang harmoni dan aman damai ini.

"Saya mahu beritahu Datuk Hamzah Zainudin (Timbalan Pengerusi PN), jangan hina orang Sabah, jangan hina pemimpin Sabah. Kau cakap orang Sabah, pemimpin Sabah palui (bodoh). Kau yang palui," katanya ketika berucap dalam program Jelajah GRS Sayangi Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kenyataan Hamzah yang menggunakan perkataan 'palui' ketika program jelajah PN di Sabah sehingga tular di laman media sosial, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Ketua Menteri Sabah itu turut menegaskan agar tidak membawa budaya memaki ke negeri ini ketika berkempen walaupun negara ini mengamalkan demokrasi dan kebebasan bersuara.

"Kalau palui jangan datang ke negeri Sabah ini. Kita tidak mahu pemimpin seumpama ini. Walaupun kita meraikan demokrasi tetapi budaya orang Sabah lain sedikit daripada kamu di sebelah sana.

"Kalau kamu di sebelah sana maki hamun, makilah kamu sampai bila-bila tetapi di Sabah, jangan bawa budaya seumpama itu ke negeri di Bawah Bayu," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama