SANDAKAN: Pemandu parah, manakala enam penumpang warga China cedera selepas bas persiaran yang dinaiki terbabas di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Sibuga, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.15 pagi.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa pelancong dari China seramai 17 orang terdiri termasuk empat kanak-kanak.
“Enam penumpang cedera manakala pemandu parah dan semua mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada 10.42 pagi.
“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.