Lebih 500 pelajar Sabah terima bantuan TPNS siri pertama tahun 2025

Ariffin (empat dari kanan) bersama pelajar IPTA/IPTS Sabah yang menerima mock cheque bantuan kewangan TPNS siri pertama 2025

 
KOTA KINABALU - Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) meluluskan peruntukan sejumlah RM3 juta bagi siri pertama tahun 2025 melibatkan bantuan kewangan kepada lebih 500 pelajar Sabah untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata fokus utama bantuan kali ini diberikan kepada pelajar dari golongan B40 serta pelajar pascasiswazah yang mengambil pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).

"Pada hari ini, lebih daripada 500 permohonan telah diluluskan untuk menerima bantuan yang melibatkan peruntukan RM3 juta bagi siri pertama 2025.

"Tahun ini, fokus utama diberikan kepada pelajar pascasiswazah yang sedang mengikuti pengajian peringkat sarjana dan PhD." katanya kepada media sewaktu ditemui di Majlis Penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) kepada anak anak Sabah yang menuntut di IPTA/IPTS di Kota Kinabalu pada Selasa.

Selain itu, TPNS juga diharap menjadi pelengkap kepada pelbagai inisiatif bantuan pendidikan lain seperti Yayasan Sabah, Biasiswa Kerajaan Negeri, Dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), dan agensi-agensi berkaitan.

"Diharapkan agar Tabung Pendidikan Negeri Sabah ini dapat membantu pelbagai pihak, termasuk Yayasan Sabah, Biasiswa Kerajaan Negeri, Dermasiswa Majlis Ugama Islam Sabah, serta agensi-agensi lain yang sama-sama berusaha membantu pelajar-pelajar kita," katanya.

Ariffin turut menjelaskan bahawa inisiatif ini seiring dengan aspirasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk memperkasa bidang pendidikan sebagai salah satu agenda utama di bawah pelan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Ini merupakan hasrat Yang Amat Berhormat Ketua Menteri agar tabung pendidikan negeri ini dapat menjadi pendukung utama dalam memperkasa bidang pendidikan, yang menjadi salah satu agenda utama dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," jelasnya lagi.

Tahun lalu, sebanyak RM8 juta telah diperuntukkan melalui TPNS, yang membantu lebih 8,000 pelajar di negeri ini. 

Pada tahun 2025 pula, dijangka ada peningkatan jumlah pelajar yang dibantu, khususnya dari kalangan keluarga B40.

"Pada tahun lalu sahaja, RM8 juta telah diperuntukkan untuk membantu lebih 8,000 pelajar, dan tahun ini kami menyasarkan untuk membantu lebih ramai pelajar, terutamanya dari kalangan golongan B40, ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama