Sabah perkenal garis panduan baharu bagi pelawat dan jawatankuasa Masjid di Sabah

Ariffin sewaktu ditemui media di Majlis Penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) kepada anak anak Sabah yang menuntut di IPTA/IPTS di Kota Kinabalu pada Selasa.

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan memperkenalkan garis panduan khusus untuk memastikan semua pihak, termasuk pelancong dan jawatankuasa masjid, mematuhi etika dan adab ketika mengunjungi rumah ibadat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata langkah itu diambil susulan insiden tular berkenaan dakwaan pegawai Masjid Bandaraya Kota Kinabalu menghalang pelancong mengambil gambar tanpa membuat bayaran.

"Semalam kita telah berbincang, dan akan menyediakan garis panduan yang baru, dan ini bukan sahaja untuk jawatankuasa masjid yang menyelaras, tetapi juga untuk pelawat yang berkunjung ke masjid," katanya kepada media sewaktu ditemui di Majlis Penyampaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) kepada anak anak Sabah yang menuntut di IPTA/IPTS di Kota Kinabalu pada Selasa.

Selain itu, Arifin menekankan kepentingan memelihara adab dan adat dalam setiap interaksi, terutama di kawasan rumah ibadat yang menjadi tumpuan pelancong.

"Kedua-dua pihak perlu ada etika, adab, dan adat. Intinya, siapa saja yang datang ke masjid akan kita sambut dengan penuh santun.

"Sama ada di luar atau di dalam masjid, lebih utama untuk kita mematuhi dan memelihara adat serta sopan santun," tambahnya.

Menurut beliau, pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah diminta untuk menyediakan garis panduan tersebut bagi memastikan pelaksanaan yang lebih teratur.

"Saya telah mengarahkan pengarah JHEAINS untuk menyediakan garis panduan ini, bukan sahaja kepada pelawat, tetapi juga kepada jawatankuasa masjid yang menyelaras kedatangan para tetamu," jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama