Polis tahan 4 individu disyaki ahli sindiket pengedaran dadah, rampas 3kg syabu


Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas menerusi dua serbuan berasingan sekitar daerah ini, minggu lalu.


TAWAU : Empat lelaki disyaki ahli sindiket pengedaran dadah ditahan bersama  kira-kira 30,58.05 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM180,000 dalam dua serbuan berasingan sekitar daerah ini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pada 19 dan 20 Januari itu susulan risikan dan maklumat awam.

Beliau berkata serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 5 petang di sebuah rumah tidak bernombor dekat Jalan Kuhara, di sini, dan menahan dua suspek warga tempatan masing-masing berumur 31 dan 41 tahun.

"Pemeriksaan di rumah terbabit menjumpai dua paket plastik warna keemasan bertulis Guanyinwang mengandungi 2039.64 gram bahan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek ditangkap dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut Jasmin berkata, susulan tangkapan dan hasil soal siasat yang dijalankan pihaknya berjaya menahan dua lagi ahli sindiket pengedaran terbabit menerusi satu serbuan di tepi jalan di Kilometer 60 Jalan Semporna-Tawau, jam 12.10 tengah malam.

Katanya, sebelum tangkapan dibuat salah seorang suspek yang menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza itu dilihat bertindak mencampakkan satu bungkusan dipercayai mengandungi dadah.

"Hasil pemeriksaan terhadap bungkusan plastik itu didalamnya terdapat satu paket lutsinar berselotep cerah didalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar yang berisi ketulan hablur jernih seberat 1,018.41 gram disyaki dadah jenis methamphetamine.

"Suspek bersama rakan sejenayah yang menjadi pemandu untuk aktiviti pengedaran dadah ditangkap untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya lagi, semua suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga 3 Februari depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama