Langgar syarat sah lesen, Juragan ditahan

Juragan warga Indonesia bersama bot kargo ditahan APPM, atas kesalahan melanggar syarat sah lesen ketika pemeriksaan pada kedudukan 2.8 batu nautika selatan Tinagat, di sini,malam tadi. Foto | Ihsan APMM

TAWAU : Gara-gara melanggar syarat sah lesen seorang lelaki warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Ops Pluto Timur dan Ops Tiris, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, bot kargo dikendalikan juragan berumur 40 tahun itu dikesan bergerak dari Pulau Sebatik menuju ke Perairan Kinabutan iaitu pada kedudukan 2.8 batu nautika selatan Tinagat, sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan awal mendapati juragan terbabit memiliki dokumen pengenaalan diri yang sah.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati nama juragan terbabit tiada dalam lesen bot yang didaftarkan dan telah melanggar syarat sah lesen kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.

"Susulan itu, juragan bersama bot kargo dengan muatan buah kelapa sawit yangs dianggarkan bernilai RM46,000 itu ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan lanjut," katanya.

Mengukas lanjut, Shahrizan berkata sikap pengusaha bot kargo yang tidak mengambil berat berkaitan syarat-syarat sah lesen ini wajar diambil tindakan bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka agar lebih peka dengan syarat yang ditetapkan.

"Untuk kes ini, kesalahan disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, kerana gagal memaklumkan pertukaran nakhoda," katanya.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama