Gala Nite: Wanita Inspirasi 2025 raikan kejayaan wanita Sabah

Dg Khatijah(tengah, kanan) dan Uji Mohammed(tengah, kiri) ketika ditemu bual bersama media di Pacific Sutera Harbour, semalam.


KOTA KINABALU: Gala Nite: Wanita Inspirasi 2025, program berprestij anjuran Persatuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Sabah (IKSnita Sabah) bakal berlangsung pada 23 Februari akan datang di Sabah Hotel, Sandakan.  

Presiden IKSnita Sabah, Datuk Hjh Dg Khatijah Datu Haji Bachtiyal berkata program itu bertujuan menjadi platform untuk wanita berganding bahu, meraikan kejayaan mereka, dan menginspirasi lebih ramai wanita di Sabah.

“Perjuangan ini harus diteruskan. Sebab itu ada namanya ‘Inspirasi’ kami tidak berhenti di situ.

“Apabila kita berjaya, kita tidak boleh berjaya sendirian, kita harus memberi inspirasi, kena semarakkan semangat itu supaya ramai wanita yang akan menjadi seperti apa yang mereka mahukan,” katanya ketika ditemu bual bersama media di Pacific Sutera Harbour, semalam.

Menurut beliau, antara acara menarik yang akan diketengahkan termasuk persembahan tarian tradisional, pemberian amal untuk komuniti, dan pelancaran Buku 100 Wanita (2024/2025) edisi pertama serta persembahan khas daripada penyanyi lagenda negara, Uji Rashid.

Dg Khatijah turut menjelaskan bahawa majlis itu akan menampilkan Sesi Motivasi Wanita Inspirasi: Accelerate Action, yang akan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed bersempena tema Hari Wanita Sedunia 2025.

Selain itu, Rozita @ Uji Mohammed turut sependapat dengan Dg Khatijah mengenai buku 100 Wanita edisi pertama, sebuah karya yang diterajui olehnya sendiri, buku yang memuatkan pelbagai kisah kejayaan wanita mampu menjadi contoh dan sumber inspirasi kepada wanita lain.

“Inspirasi yang Dato’ bawa bukan dalam golongan yang T20 saja, yang di kampung, diangkat keluar sebab dia menginspirasikan orang yang berada di kampung itu menjadi seseorang.

“Kita ni tidak ada dia punya momentum yang dia mesti ada pangkat, dia mesti ada darjat. Dalam buku itu, kita tiada limit. Untuk semua yang menginspirasikan, dia berhak berada dalam buku itu,” tambah beliau.

Menurut Dg Khatijah, IKSnita Sabah percaya bahawa acara ini akan menjadi detik bermakna untuk meraikan pencapaian wanita, sambil menggalakkan solidariti serta memberi inspirasi kepada generasi wanita masa hadapan.

“Perjuangkan wanita sehingga menjadi wanita sebenar,” ujar beliau, menyeru agar wanita terus berjuang mencapai potensi terbaik dalam semua aspek kehidupan.

Katanya, majlis itu turut menyasarkan lebih 300 tetamu yang terdiri daripada daripada Wanita Inspirasi IKSnita Sabah, Penaja Program, Persatuan Setempat, Agensi Kerajaan dan lain lain.

Terdahulu, program Wanita Inspirasi ini bermula pada tahun 2014 melalui Perarakan Wanita Inspirasi pertamanya, dengan penyertaan seramai 3,333 orang wanita dari seluruh Sabah.

 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama