![]() |
Mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum di bawa ke hospital menaiki ambulan dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). FOTO | Ihsan Bomba. |
TAWAU : Seorang pemandu parah manakala tiga penumpangnya cedera selepas kereta jenis Proton Gen-2 dinaiki mereka terbabas dekat Jalan Mawar, Kampung Jawa di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, pemandu kereta terbabit seorang lelaki mengalami kecederaan selepas tersepit di tempat duduk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, sepasukan lapan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 4.47 pagi sebelum tiba sepuluh minit kemudian.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan empat mangsa sebelum operasi menyelamat dijalankan yang mengambil masa kira-kira setengah jam.
"Seorang mangsa (pemandu lelaki) tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
"Sementara tiga penumpang wanita dewasa mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jemishin berkata, semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Tawau menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, operasi ditamatkan pada jam 5.23 pagi setelah memastikan keadaan selamat di lokasi berkenaan.