![]() |
Masidi ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kerajaan Negeri Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis. |
KOTA KINABALU: Tindakan Petrolium Nasional Bhd (PETRONAS) yang mengambil keputusan untuk menyahaktifkan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) tidak mendatangkan kesan khususnya aspek kerugian terhadap negeri Sabah.
Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE), Datuk Masidi Manjun berkata PETRONAS dilihat sedang membuat penilaian semula keutamaannya susulan cabaran berterusan membabitkan operasi saluran paip gas menghubungkan Kimanis ke Bintulu, Sarawak.
"Pemahaman saya ialah terdapat dua sebab utama. Pertama, dari awal lagi, saluran paip mengalami kebocoran, yang membawa kepada pembaikan yang sangat mahal.
“Dari segi kewangan, ia masuk akal kerana pembaikan saluran paip gas sepanjang 500 kilometer setiap kali timbul isu adalah amat mahal.
"Tidak wajar bagi PETRONAS untuk terus membelanjakan ratusan juta untuk pembaikan apabila ada masalah. Jadi saya rasa PETRONAS mengambil langkah praktikal dalam perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Kerajaan Negeri Sabah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.
Dalam pada itu, Masidi, turut menjelaskan PETRONAS sedang merancang untuk membina loji kemudahan gas asli cecair (LNG) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan PETRONAS akan menamatkan SSGP sepanjang 500 kilometer (KM) yang menghubungkan Kimanis di Sabah ke Bintulu di Sarawak dan ia telah beroperasi sejak awal 2014.