![]() |
Sekumpulan belia dari Kampung Paris 3 bersama-sama membantu kenderaan lalui banjir. |
KINABATANGAN: ‘The Unsung Hero’ atau digelar sebagai wira tidak didendangkan, gelaran yang diberikan kepada sekumpulan belia di Kampung Paris 3, Kinabatangan, Sabah.
Tanpa mengharapkan sebarang balasan, anak-anak muda di kampung itu dilihat bertungkus lumus membantu masyarakat memastikan kenderaan dapat meredah banjir dengan lebih mudah serta mengelak kenderaan daripada terbabas.
“Wira yang tidak didendang! Alhamdulillah, dengan pertolongan mereka yang membimbing pemandu dan mengawal kenderaan daripada bertembung dengan arus deras, kami berjaya melepasi kawasan tersebut. Terima kasih semua, hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian,” Jelas seorang pengguna media sosial, @youngd_hana.
“Alhamdulillah orang baik akan selalu dikenang, semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan mereka,” tambah @mammyyan.
Selain itu, seorang pemilik kenderaan, @ana_umi92 turut mengucapkan terima kasih dan meluahkan rasa syukur selepas berjaya melepasi banjir di Kinabatangan dengan bantuan orang ramai yang berada di lokasi itu.
Terdahulu, beberapa laluan jalan utama di kawasan Pantai Timur Sabah seperti di Pitas, Telupid dan Kinabatangan dilaporkan terputus akibat dinaiki air banjir ekoran hujan lebat berterusan pada Rabu.