![]() |
Dianggarkan lebih 25,000 pengunjung menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) |
KOTA KINABALU – Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) berlangsung meriah dengan kehadiran dianggarkan lebih 25,000 pengunjung.
Majlis yang diadakan pada Khamis itu turut dihadiri Tuan Yang Terutama Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew Chin Jin, pemimpin kerajaan, wakil persatuan Cina, pegawai kerajaan, serta masyarakat dari pelbagai etnik.
Pelbagai aktiviti kebudayaan diadakan sepanjang program berjalan, termasuk persembahan tarian singa, opera Cina, serta penampilan artis tempatan yang memeriahkan suasana.
Keunikan budaya juga terserlah apabila pengunjung mengenakan pakaian tradisional seperti cheongsam dan busana etnik mengikut kaum masing-masing.
Sebanyak 30 kumpulan etnik turut dijemput hadir menyertai sambutan ini, yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan literasi antara kaum yang harmoni di Sabah.
Majlis rumah terbuka ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kaum, tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.