KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan sebarang perdebatan politik, termasuk isu mengenai pemilihan beliau sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) baharu disifatkan tidak membantu rakyat negeri ini.
Sebaliknya, beliau menyatakan telah bersedia untuk melaksanakan mandat yang diberikan selain tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di peringkat Persekutuan.
"Saya bersedia untuk melaksanakan mandat yang diberikan kepada saya. Saya mahu fokus apa diperlukan oleh usahawan Sabah (sebagai Menteri KUSKOP) dan rakyat Sabah (sebagai Pengerusi PH Sabah) yang bersesuaian dengan mandat ini.
"Saya mahu fokus ke arah itu. Saya mahu mengurangkan perdebatan politik. Ia tidak membantu Sabah, ia tidak membantu Malaysia. Saya mahu fokus mandat yang diberikan kepada saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Program Cabutan Bertuah Robert T 1994 bertempat di pusat membeli belah Suria Sabah, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut berkata pemilihan beliau sebagai Pengerusi PH Sabah telah melalui prosedur yang telah ditetapkan secara demokrasi.
"Pemilihan telah dibuat dan keputusan telah dibuat melalui satu proses saya fikir semua parti dalam PH adalah parti yang mendokong amalan demokrasi.
"Tetapi sama seperti pilihan raya lain, kadang-kadang ada yang mahu buat petisyen, kadang-kadang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat pengesahan, yang pentingnya proses telah berjalan. Keputusannya telah dibuat dan kita hormati itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, media melaporkan sebelum ini melaporkan Ewon Benedick dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah baharu bagi menggantikan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu, Datuk Seri Christina Liew pada tahun lalu.
Setiausaha Majlis Kepimpinan Negeri (MPN) Keadilan Sabah, Sazalye Donol dilaporkan beliau memaklumkan isu pemilihan pengerusi PH Sabah masih belum menemui penyelesaian.