Lelaki disyaki ‘Runner’ minyak ditahan bersama 250 liter petrol

 Seorang lelaki disyaki ‘runner’ minyak bersama 250 liter petrolberjaya ditahan APMM di kedudukan 1.7 batu nautika selatan Batu Tiga . 

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tahan seorang lelaki disyaki ‘runner’ minyak bersama 250 liter petrol di kedudukan 1.7 batu nautika selatan Batu Tiga, di sini pada Sabtu.

Suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan oleh bot ronda APMM yang menjalankan tugasan Op Pluto Timur dan Op Tiris, pada jam 9.55 malam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pasukan bot ronda mengesan sebuah bot penumpang yang bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Katanya, bot Maritim Malaysia bertindak memintas dan menahan bot terbabit untuk menjalankan pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa.

“Pemeriksaan ke atas bot penumpang berkenaan mendapati, terdapat 10 gelen minyak petrol dianggarkan sebanyak 250 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

“Suspek terbabit terus ditahan, manakala bot dan muatan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata Zon Maritim Tawau telah merekodkan 9,187 pemeriksaan vesel di laut dan 108 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan khusus di perairan Tawau sepanjang tahun 2024.

Katanya, ia melibatkan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM12.2 juta, sekali gus rekod tertinggi pernah direkodkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Kedudukan perairan Tawau yang berada di garisan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia menjadi cabaran utama bagi melaksanakan penguatkuasaan,” katanya.

“Kita tidak menolak kemungkinan wujudnya 'runner’ yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan dalam kuantiti kecil secara berulang bagi menembusi pasaran di negara jiran,” katanya.

Namun, katanya Zon Maritim Tawau akan terus mengekang sindiket penyeludupan ini bagi mengelakkan ketirisan barang kawalan.

Beliau berkata, tahun 2024 juga menyaksikan penurunan laporan bagi kes-kes carilamat di daerah ini dengan hanya satu kes sahaja direkodkan.

“Ini membuktikan bahawa keberkesanan kepada kempen-kempen kesedaran keselamatan di laut yang diadakan kepada masyarakat setempat serta komuniti maritim di daerah ini.

“APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama