![]() |
Pasukan Bomba menjalankan operasi mengeluarkan pemandu van dan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Semporna-Tawau dekat sini, pagi tadi. Foto / Ihsan Bomba. |
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa Taufik Baco, 33, yang memandu sebuah van jenis Nissan Urvan (tanpa penumpang) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.32 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama jentera bergegas ke lokasi sebelum tiba setengah jam kemudian.
Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis van Nissan urvan dipercayai dari arah Semporna menuju ke Tawau yang bertembung pacuan empat roda jenis Toyota Vigo.
"Kedua-dua pemandu masing tersepit dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mereka menggunakan peralatan Rescue Trafic Accident.
"Bagaimanapun pemandu van terbabit meninggal dunia dan disahkan oleh pihak Ambulance KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Madzlan berkata, pemandu pacuan empat roda Mohd Zaki Abd Nasip, 38, yang turut mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Semporna menggunakan ambulan untuk rawatan lanjut.
"Operasi tamat pada jam 8.50 pagi, setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi," ujarnya.